Bank rugi RM25 juta ditipu
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Sebuah bank kerugian RM25 juta akibat konspirasi membabitkan syarikat pengeluar roti dengan anak syarikat kepada sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bagi memohon pinjaman bank untuk menjalankan satu projek makanan yang sebenarnya tidak wujud.Konspirasi berkenaan hanya terbongkar selepas sebuah firma audit menemukan transaksi kewangan meragukan sehingga gagal membuat kesimpulan audit baru-baru ini.
Semakan bank berkenaan mendapati dokumen-dokumen tuntutan seperti invois, resit pembelian dan dokumen pesanan dikemukakan adalah palsu.
Siasatan turut menemukan tuntutan pinjaman dibuat kononnya untuk membeli bahan mentah bagi pelaksanaan projek berkenaan juga tidak pernah berlaku.
Menurut sumber, dianggarkan hampir 40 kali pembayaran telah dibuat pihak bank berjumlah hampir RM25 juta melibatkan dua syarikat terbabit.
"Tujuan penubuhan syarikat terbabit adalah untuk menjalankan projek makanan berasaskan susu.
"Namun projek tersebut tak mampu keluarkan hasil pengeluaran yang tinggi menyebabkan pihak berkenaan terpaksa mencari bekalan produk-produk di pasaran luar untuk diniagakan.
"Sepatutnya syarikat-syarikat terbabit membayar balik pinjaman berkenaan namun gagal berbuat demikian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Difahamkan, kemudahan bank tersebut diperoleh selepas salah sebuah syarikat terbabit berjaya mendapat tuntutan lebih RM44 juta pada Oktober tahun lalu hingga Mei tahun ini.
Salah seorang berpangkat Datuk dikatakan menjadi perancang utama konspirasi tuntutan palsu berkenaan dan dijangka bakal menghadapi lebih 200 pertuduhan dalam waktu terdekat.
Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali ketika dihubungi mengesahkan kes tersebut.
No comments:
Post a Comment